W3C Reset Pink Merah Hijau Kuning    |   Besar Kecil Kecil  
Khamis, 19 September 2019 
Home

Makmal Kalibrasi Optik

1.Pengenalan Makmal Kalibrasi Optik

Bangunan Makmal Kalibrasi Optik (MKO) telah siap dibina pada 10 Mac 2006. Ia adalah makmal perintis di Malaysia yang mempunyai keupayaan untuk menentukur sistem optik satelit. Makmal ini beroperasi penuh pada 6 April 2006 apabila bilik bersih yang terletak di dalam bangunan ini siap sepenuhnya. Bangunan dua tingkat ini dilengkapi dengan bilik kawalan untuk bilik bersih, kawasan kawalan debu dan ruang punggah di tingkat bawah sementara tingkat pertama pula menempatkan pejabat penyelidikan.

2.Fungsi Utama Makmal Kalibrasi Optik

Tujuan utama kemudahan ini adalah khusus untuk pencirian dan penentukuran sistem elektro-optikal. Bilik bersih makmal ini memenuhi  klasifikasi Kelas 10,000 yang ditetapkan oleh Federal Standard 209B ataupun kelas 7 yang ditetapkan oleh piawaian ISO. Ia bertujuan untuk mengawal atur persekitaran penentukuran yang melibatkan satelit di mana kawalan dari segi suhu, kelembapan dan zarah adalah diperlukan. Selain itu, lantai bilik bersih ini mempunyai lapisan epoksi dan juga pembumian di setiap sudut sebagai kawalan untuk penyahcas elektrostatik (ESD). Bilik bersih ini beroperasi dengan keadaan persekitaran suhu 18 ± 2 °C, kelembapan 50 ± 5%, zarah lebih kecil atau sama saiz dengan 0.5μm adalah kurang daripada 10,000 unit sekaki padu, rintangan sambungan pembumian kurang daripada 10 Ω, pencahayaan 500 Lux, dan kawalan keselamatan dengan CCTV dan pas akses. 

Keadaan Persekitaran Makmal

Suhu

18 ± 2 °C

Kelembapan

50 ± 5%

Zarah

Zarah lebih kecil atau sama saiz dengan 0.5μm adalah kurang daripada 10,000 unit / ft3

Sambungan Pembumian

Kurang daripada 10 Ω

Pencahayaan

500 Lux

 

3.Perkhidmatan Makmal Kalibrasi Optik Yang Ditawarkan

Perkhidmatan yang boleh ditawarkan kepada pelanggan adalah penentukuran dan pencirian radiometrik seperti berikut (tidak terhad kepada):

  1. Tindak balas Gelap;
  2. Pencirian Piksel;
  3. Julat Dinamik;
  4. Tindak balas Kelinearan;
  5. Pencirian Hingar;
  6. Penarafan Sinar Hingar;
  7. Ketepuan Sinar;
  8. Nisbah Isyarat kepada Hingar;
  9. Pekali Mutlak Radiometrik.

4. Peralatan Makmal Penentukuran Optik

Instrumen dan peralatan memainkan peranan penting dalam menentukan fungsi dan aktiviti yang boleh dilaksanakan di MKO. Fungsi bagi setiap peralatan utama pengujian disenaraikan seperti di bawah. Semua peralatan ini mempunyai peranan masing-masing dalam aktiviti kalibrasi.

A. Integrating Sphere

  • Sfera berukuran 40 inci yang mampu menghasilkan sumber cahaya seragam bagi panjang gelombang 400-2400nm dengan mengintegrasikan sumber cahaya dari lampu Tungsten-Halogen dan lampu Xenon.
  • Digunakan sebagai simulator solar untuk perincian dan penentukuran sistem pengimejan. 

Uniformity

> 98%

Peak Radiance

~ 1000 W/m2/sr/µm at ~0.7 µm

Luminance Range

0 – 50000 cd/m2

Spectrum Simulating

~100% Earth Albedo

Variable Correlated Colour Temperature

3200K to 5900K

 

B. Spectroradiometer

  • Mampu untuk mengukur taburan spektrum cahaya dari panjang gelombang 350nm ke 1050 nm.
  • Digunakan untuk memantau taburan spektrum cahaya di dalam Integrating Sphere.

C. Turn Table

  • Mempunyai dimensi 2250mm  lebar, 2000mm panjang  dan 1500mm tinggi. Ia mampu menyokong beban maksimum 200kg dengan  saiz seluas 2000 x 2000 mm pada satu-satu masa.
  • Digunakan untuk menempatkan satelit atau peranti di bawah pengujian. Ia boleh berputar dari kedudukan mendatar ke kedudukan menegak (90°) bagi menyelaraskan sistem pengimejan  satelit atau peranti di bawah pengujian dengan pusat pengeluaran cahaya dari Integrating Sphere.   

Di samping itu, makmal ini juga dilengkapi dengan lampu kesinaran spektrum 1000W yang boleh dikesan asal ke SI (International System of Units), meja optikal sangat stabil yang dapat menyokong beban seberat 3 tan dan pelbagai perlengkapan opto-mekanikal. 

Kembali ke atas