W3C Reset Pink Merah Hijau Kuning    |   Besar Kecil Kecil  
Khamis, 19 September 2019 
Home

Aktiviti yang dijalankan dalam pembangunan roket

Roket TEDUNG-KILAT menyambar ke udara

Melalui perkembangan teknologi aeroangkasa yang semakin menarik minat rakyat setempat, ANGKASA di bawah unit Space Application and Technology Division (SATD) telah bertindak serius dengan menempatkan 3 pegawai penyelidiknya di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai bagi menjalankan kerjasama dalam Program Penyelidikan Pembangunan Teknologi Roket antara ANGKASA dan UTM.

Projek yang mengambil masa selama 2 tahun ini telah bermula sejak November 2009 dan bakal berakhir pada November 2011. Projek yang menggunakan seratus peratus kepakaran tempatan ini diketuai oleh Prof. Ir. Dr. Wan Khairuddin bin Wan Ali dari UTM yang merangkap sebagai tenaga pakar bagi membangunkan teknologi roket dari segi rekabentuk, analisis dan ujikaji. Tenaga pakar juga bertindak dalam memainkan peranan penting dalam menyediakan khidmat latihan dan nasihat kepada sekumpulan pegawai penyelidik kerajaan dan universiti untuk melahirkan jurutera-jurutera yang mahir dalam bidang teknologi roket dan aeroangkasa melalui pemahaman dari segi teori dan teknikal. Bermula dari penyediaan kerangka motor roket, bahan bakar sehinggalah pelancaran roket itu sendiri ke udara merupakan ilmu dan pengalaman yang tidak dapat dilupakan.

Pelbagai persediaan telah dibuat sebelum roket dapat dilancarkan bagi mendapatkan daya tujah yang dapat menerbangkan objek tersebut ke angkasa seperti pengujian motor roket di dalam bilik kebal. Ini bertujuan bagi mendapatkan kiraan daya tujah yang dihasilkan dengan menggunakan sensor Sel Beban. Apabila keputusan yang dihasilkan didapati memuaskan hati semua pihak, pengujian pada landasan pula dilakukan. Selepas kejayaan pada landasan dapat dicapai, barulah pelancaran roket ke udara boleh diambil kira dan di atur rapi dan telah diberi nama TEDUNG-KILAT UTRV-70B.

Pada 28 dan 29 Oktober 2010 bertempat di Pantai Air Papan, Mersing, Johor, beberapa siri ujian pelancaran roket telah diadakan. Sebanyak tiga buah roket telah dilancarkan pada 28 November manakala dua buah lagi dilancarkan keesokan harinya. Sebanyak 150N daya kekuatan roket telah dihasilkan. Pengujian roket ini turut disaksikan oleh Pengarah Pusat Angkasa, En. Maszlan bin Ismail selaku wakil daripada ANGKASA. Sepanjang ujian pelancaran, Polis Daerah Mersing turut turun ke padang bagi memastikan kawasan adalah selamat serta keselamatan orang awam terjamin. Selain itu, Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (DCA) turut memberikan kerjasama dengan mengenalpasti bahawa lokasi pelancaran yang dipilih bebas daripada laluan pesawat dan latihan pasukan tentera negara. Dengan kejayaan pelancaran roket di Mersing ini diharap dapat menjadi titik tolak kepada perkembangan teknologi roket dengan lebih pesat lagi. Di samping itu, ianya juga diharap dapat menarik minat di kalangan penyelidik-penyelidik dari universiti-universiti tempatan untuk menceburkan diri dalam bidang ini.

Berikut merupakan beberapa gambar yang telah diambil sewaktu proses dari penyediaan motor roket kepada pelancaran roket ke udara yang telah diambil.

Media

‚Äč

Kembali ke atas